Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, March 3, 2010

HIKMAH INFAQ DAN BERSEDEQAH



Islam merupakan satu agama yang menitik beratkan mengenai kebajikan semua penganutnya. Pelbagai ajaran dan arahan yang diturunkan oleh Allah untuk menjaga maslahat semua umat manusia di dunia ini. Al-Quran juga diturunkan dengan pelbagai hikmah dan panduan untuk semua umat Islam. Sebagaimana Allah telah berfiman yang bermaksud :

''Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan ALLAH) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat) padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata kepadanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya ALLAH Maha Kaya lagi sentiasa Terpuji''.Surah Al-Baqarah ayat 267.

Ayat ini menjelaskan mengenai infaq iaitu membelanjakan harta supaya mengeluarkan harta yang dimiliki dengan baik. Peberlanjaan yang baik ini bermaksud, tidak melakukan pembaziran dan membeli barangan yang diperlukan sahaja. Jika semua umat manusia melakukan yang sedemikian, maka segala sumber yang ada di bumi ini akan digunakan dengan sebaik mungkin.

Pandangan ekonomi Islam mengenai perbelanjaan yang baik ialah mendahulukan yang perlu.
Barangan yang bukan keperluan tidak disenaraikan sebagai barangan keutamaan dalam perbelanjaan. Dengan cara ini, tidak akan berlaku pembaziran dan manusia mempunyai peluang lebih banyak untuk menyimpan. Barangan keperluan adalah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Semua manusia memerlukan barangan yang sama sebagai barangan keperluan. Barangan keperluan ini dengan kata mudah ialah barangan yang amat diperlukan dalam meneruskan kehidupan. Tanpa barangan tersebut, kehidupan manusia akan menjadi tidak selesa dan menghadapi masalah.

Selepas aturan barangan keperluan, barangan kehendak pula menyusul. Dalam konteks barangan kehendak ini, barangan ini bukanlah keperluan dalam kehidupan manusia. Jika tidak memiliki barangan kehendak ini, manusia mampu untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Barangan kehendak merupakan sebagai pelengkap kepada barangan keperluan sebentar tadi. Diandaikan rumah sebagai barangan keperluan. Tanpa rumah, manusia tidak akan hidup dengan sempurna. Manakala barangan kehendak pula adalah pelengkap kepada barangan keperluan. Ini bermakna, perabot, telivisyen, peti ais merupakan barang kehendak. Andai tidak memilki barangan berkenaan, manusia mampu hidup dengan baik, cuma kurang selesa sahaja. Itulah yang dinamakan sebagai barangan kehendak.

Kemudian selepas dua jenis barangan tersebut, ada jenis barangan yang ketiga. Barangan yang ketiga ialah barangan mewah. Barangan ini selalunya diinginkan oleh golongan yang berpendapatan tinggi. Ini kerana mereka telah mendapatkan barangan keperluan dan kehendak. Barangan mewah adalah rentetan daripada barangan keperluan dan kehendak. Ini bermaksud bahawa, rumah merupakan barangan keperluan, perabot di dalamnya merupakan barangan kehendak dan jenis perabot seta jenamanya yang mahal merupakan barangan mewah. Barangan mewah ini akan menjadikan sebuah kehidupan semakin selesa dan mewah. Dalam Islam, Islam menggalakkan supaya umatnya memenuhi barangan keperluan dan kehendak terlebih dahulu kemudian barulah barangan mewah. Tetapi sebenarnya barangan mewah ini sepatutnya tidak dibelanjakan dengan cara berlebihan. Kerana akan berlaku pembaziran jika diikutkan hawa nafsu tersebut. Jika menginfaqkan harta dengan melakukan cara sedemikian, maka harta tersebut telah digunakan dengan baik dan mengikut keutamaan selaras dengan anjuran di Islam. Manusia juga tidak akan membazirkan harta mereka kepada membeli barangan yang kurang perlu. Harta yang berlebihan sebaiknya disimpan sebagai awasan.Malah, harta tersebut juga boleh dilaburkan untuk memperoleh keuntungan daripadanya.

Pelbagai pelaburan boleh dilakukan selagi mana berlandaskan syariat Islam. Jika memiliki harta yang banyak, maka kemampuan untuk membantu golongan miskin juga akan bertambah.
Dalam Islam, pemilikan yang sebenarnya adalah milik ALLAH SWT. Manakala manusia adalah khalifah Allah yang diamanahkan untuk mentadbir bumi ini, sekali gus menguruskan khazanah dan harta yang terkandung padanya. Sebagai manusia, kita seharusnya menggunakan segala nikmat dan manfaat yang Allah berikan kepada kita dengan sebaiknya. Begitulah juga dengan kekuatan dan kesihatan fizikal kita, kerana ia merupakan kurniaan Allah yang tidak terhitung nikmat dan manfaatnya.

Ayat tersebut juga ada menjelaskan mengenai memberikan harta yang baik kepada orang lain, bukan harta yang buruk dan tidak akan memberikan manfaat kepada mereka yang menerima. Pemberian harta kepada golongan miskin dengan keikhlasan merupakan sedeqah jariyah. Islam amat menggalakkan umatnya supaya mengeluarkan sedikit daripada harta mereka untuk bersedeqah.
Sedeqah ini secara syariahnya akan membawa pemberi itu memilki pahala dan keredhaan ALLAH kepadanya. Malah, jika diberikan dengan ikhlas dan secara rela hati untuk membantu, ALLAH akan menggantikan harta mereka dengan lebih banyak lagi.

Selain itu, sedeqah juga member kesan kepada ekonomi itu sendiri. Ini kerana dengan sedeqah, golongan miskin memilki keupayaan untuk memasuki pasaran dengan memjadi sebahagian daripada pengguna. Mereka akan meningkatkan jumlah permintaan dalam pasaran barang. Keadaan ini akan membawa kepada peningkatan penawaran. Hukum ekonomi mengatakan bahawa, semakin banyak permintaan, semakin banyak penawaran yang akan dikeluarkan oleh pengeluar. Jika pengeluar meingkatkan pengeluaran, maka pelaburan yang akan dilakukan juga akan bertambah. Pengeluar akan meningkatkan kecekapan dalam pengeluaran bagi memenuhi pasaran yang semakin besar setalah dihadiri oleh golongan miskin ini. Dengan hanya cara bersedeqah, aktiviti ekonomi akan menjadi semakin rancak dan meningkatkan ekonomi individu, masyarakat malah sebuah negara itu sendiri.

Ekonomi Negara menjadi rancak kerana aktiviti pelaburan yang dilakukan oleh pengeluar semakin rancak. Ramai pelabur akan melabur dan pulangan akan dirasa oleh kerajaan melalui cukai, zakat dan sebagainya.
Jika kerajaan memilki kewangan yang kukuh, maka kerajaan boleh membantu golongan miskin ini dengan memberi pelbagai bantuan untuk menyahkan kemiskinan mereka. Cara kerajaan ini akan membawa kepada pengurangan jurang kemiskinan antara golongan miskin dan golongan kaya. Masyarakat akan menjadi stabil dan Negara akan aman. Pengurangan masalah sosial seperti jenayah, pelacuran dan sebagainya juga akan berlaku. Inilah diantara hikmah pemberian sedeqah, bukan sekadar memberi keuntungan kepada individu, tetapi kepada semua lapisan masyarakat keseluruhannya.

Ayat ini juga Allah menegaskan supaya manusia sentiasa membelanjakan harta ke jalan yang diredhaiNya. Mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah akan memperolehi hikmah dan ganjaran daripada Allah.
Kita digalakkan berbelanja mengikut keutamaan untuk mengelakkan daripada berlaku pembaziran dalam berbelanja. Harta yang diinfaqkan seharusnya diinfaqkan ke jalan yang betul. Sebagai contoh, menginfaqkan kepada ahli keluarga terlebih dahulu, kemudian jika memilki lebihan dari harta tersebut, bolehlah diteruskan untuk diinfaqkan kepada orang lain. Keadaan ini akan membawa sesebuah keluarga itu memenuhi keperluan asasi mereka.inilah dikatakan mengutamakan yang lebih utama. Islam juga menyarankan supaya saling bantu-membantu sesama manusia.

Manusia yang berkemampuan diwajibkan untuk menghalakan harta kekayaan itu dengan cara membantu manusia lain yang kurang berkemampuan, ini adalah sebaik-baik jalan untuk kita membelanjakan harta yang dimiliki. Sebagai salah satu caranya ialah bersedeqah.
Manusia seharusnya mencari keberkatan untuk melakukan tiap-tiap sesuatu supaya segala amalannya tidak sia-sia disisi Allah. Dikisahkan mengenai Nabi Ayub AS, ketika baginda sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis lengan bajunya agar belalang jatuh. Lantas Allah berfirman, ''Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?''Nabi Ayub AS menjawab, ''Ya benar, wahai tuhanku! Demi keAgungan-Mu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu''. Kisah di atas menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah . Kekayaan tidak akan membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta dan rezeki yang sedikit akan menjadi cukup. Sebaliknya, tanpa keberkatan rezeki yang meskipun banyak akan terasakan sempit dan menyusahkan.

Allah juga berfirman di dalam ayat surah Al-Baqarah ini, supaya manusia bersedekah dalam harta. Ini juga adalah jalan terbaik untuk manusia mencapai keberkatan dalam membelanjakan harta dan kekayaan. Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya untuk memperbanyak sedekah.
Sabda Rasulullah SAW , ''Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah'. Yang satu lagi menyeru, 'Musnahkanlah orang yang tidak membelanjakan hartanya'.''Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah SWT. Orang yang bakhil dengan tidak menyedekahkan sebahagian daripada hartanya akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat kerana tidak ada keberkatan.

Begitulah hikmah yang kita perolehi daripada ayat surah Al-Baqarah ini, bagaimana Allah menerangkan tentang pentingnya membelanjakan harta di jalan Allah dan juga bersedekah. Begitu Maha Bijaksana Allah, kerana jika kita lihat hikmah dalam ayat surah Al-Baqarah ini bagaimana Allah SWT menghimpunkan ayat infak yakni membelanjakan harta dan bersedekah. Ini bermakna berinfak dan bersedekah menjadi kriteria penting jika kita ingin meraih hikmah. Berikan sedikit harta kita di jalan Allah SWT, Insya Allah pasti akan kita temui hikmah. Bila anda sudah temukan hikmah itu, maka anda telah mendapat kurnia yang banyak dari sisi Allah swt sebagaimana yang dijelaskan didalam ayat-ayat surah Al-Baqarah ini.



budak baik,
sem 6,Sakan,Irbeed.

No comments:

Post a Comment

follow me

Mencari posisi Memperkemaskan diri Menempuh REALITI...

"من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيرا او ليصمت"