Tuesday, March 2, 2010

Bank Islam ke Konvensional???

Kenapa perlu memilih perbankan islam? Saya percaya masih ramai yang belum faham tuntutan sebenar kenapa kita seharusnya memilih perbankan Islam. Di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia, terdapat dua sistem perbankan yang beroperasi iaitu perbankan Islam dan perbankan konvensional. Apakah perbezaan di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional?

Sebelum kita meninjau mengenai perbezaan dasar antara perbankan Islam dan perbankan konvensional, sebaiknya kita menyelami apakah yang diinterpretasikan dengan sistem ekonomi konvensional dan sistem ekonomi Islam. Sistem ekonomi konvensional adalah satu sistem ekonomi yang sudah dipraktikkan secara meluas dan diterima pakai di dalam sesebuah masyarakat. Ianya boleh dikatakan satu sistem yang ditentukan oleh manusia dan tidak mempunyai piawaian yang mutlak tetapi bersifat anjal serta boleh berubah mengikut ketentuan masyarakat.

Firman Allah s.w.t:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah
kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu”
(Al-Baqarah: 208)

Manusia sebenarnya tidak mampu untuk melakukan sesuatu dengan baik melainkan dengan berpandukan Al-quran dan sunnah.Ini bertepatan dengan sistem ekonomi islam yang merupakan cabang dalam kesyumulan Islam. Sistem ekonomi Islam mempunyai piawaian yang tetap iaitu bersumberkan wahyu Al-quran dan Sunnah. Sumber ini memberikan pencerahan yang jelas mengenai perkara asas muamalat seharian yang meliputi suruhan dan larangan. Inilah perbezaan jelas mengenai sistem ekonomi Islam dan konvensional, sekalipun penyelidikan yang dijalankan tampak serupa tetapi sebenarnya ia melalui kepompong yang berbeza dan sudah pasti akan melahirkan implikasi yang berbeza.

Hal ini kerana, pakar ekonomi Islam bertujuan untuk mencapai al-falah di dunia dan akhirat, manakala pakar ekonomi sekular cuba menyelesaikan segala kemelut yang timbul tanpa ada pertimbangan soal ketuhanan dan keakhiratan tetapi keutamaan hanyalah untuk mencapai kepuasan manusia di dunia sahaja dan bersifat untuk kepentingan individu.

Jadi secara kasarnya, kita sudah semakin jelas mengenai perbezaan perbankan Islam dan perbankan konvensional yang selalu menjadi persoalan masyarakat umum di Malaysia. Apabila sesuatu sistem itu dijalankan dengan menggunakan akal dan kehendak semata-mata, maka sudah pasti pelbagai impak yang tidak baik akan timbul dan keadaan inilah yang akan membawa kepada kerosakan di masa akan datang.

Saya yakin masyarakat kita di Malaysia sudah mengetahui perbezaan ketara transaksi yang dijalankan oleh perbankan Islam dan konvensional, iaitu dari segi amalan riba atau lebih dikenali sebagai faedah. Perbankan Islam yang mengamalkan sistem ekonomi Islam berlandaskan wahyu sudah pasti jauh dari amalan riba. Tetapi bagi konvensional, amalan riba atau faedah dilihat sebagai satu kepentingan untuk mendapat keuntungan.

Kebanyakan masyarakat kita masih keliru dengan keuntungan atau dividen yang kita perolehi hasil daripada simpanan kita di dalam bank sama ada ia di anggap riba atau tidak serta haram atau halal, maka kita perlu memilih untuk menyimpan dalam perbankan bercorak Islami kerana sudah pasti sistem yang digunapakai adalah berlandaskan prinsip Islam dan bukan dalam sistem perbankan konvensional yang lebih menjurus untuk menambah keuntungan sahaja. Aspek ini seharusnya diambil berat oleh setiap masyarakat agar tidak berlaku kesan-kesan negatif yang boleh merosakkan ekonomi dan membawa pelbagai keburukan kepada semua pihak.

Firman Allah swt :
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba ” (al-Baqarah : 275)

Dalam sistem perbankan Islam, penggunaan riba sebagai keuntungan ke atas modal asal tidak dibenarkan sama sekali. Ini disebabkan keuntungan berdasarkan riba diperoleh bukan kerana imbalan usaha yang sah disisi syarak. Sepatutnya keuntungan ke atas modal asal hendaklah berdasarkan perkongsian untung dan rugi yang dikongsi bersama. Jadi jika satu pihak sahaja yang menanggung kerugian manakala satu pihak lagi tetap mendapat untung walau dalam apa jua keadaan (untung atau rugi), ini membawa kepada ketidakadilan.

Selain daripada itu, aspek keuntungan di dalam sistem perbankan konvensional adalah cenderung kepada memenuhi kepentingan individu. Misalnya di dalam aktiviti yang melibatkan simpanan orang awam yang secara tidak langsung melibatkan faedah tetap atau riba’ sebagai pulangan ke atas simpanan. Bank konvensional menggunakan simpanan orang awam untuk mendapatkan keuntungan dengan cara melaburkan wang simpanan tersebut ke dalam projek-projek besar tanpa mengambil kira projek tersebut syar’i (mengikut ketetapan syarak) mahupun tidak. Oleh sebab itu, pelaburan dan perniagaan hanya tertumpu untuk memaksimumkan keuntungan semata tanpa melihat kesan-kesan kepada masyarakat sama ada untuk jangka masa panjang ataupun jangka masa pendek, apatah lagi melihat kepada ketelusan pelaburan dari kaca mata Islam. Siapa tahu, berkemungkinan bank konvensional tersebut hanya melabur di syarikat-syarikat judi atau arak dan yang seumpama dengannya.

Berlainan pula dengan perbankan Islam, kerana asasnya pihak bank perlu bertanggungjawab terhadap semua simpanan daripada orang ramai dan memberi perkhidmatan cekap dan telus demi kepentingan awam bagi memenuhi matlamat sosioekonomi Islam dan manfaat manusia sejagat.

Kita juga boleh melihat perbezaan perbankan Islam dan konvensional melalui aspek perhubungan. Perhubungan di antara pelanggan di perbankan konvensional hanya terhad kepada kontrak pinjaman dengan faedah, yang mana bank sebagai pemiutang dan pelanggan sebagai peminjam yang harus membayar pinjaman pada waktu yang ditetapkan. Keadaan ini berbeza dengan sistem di perbankan Islam, pihak bank di dalam perbankan Islam akan bertindak selaku pengurus projek yang membantu menguruskan kewangan untuk manfaat setiap pelanggan.

Di samping itu pelanggan juga boleh berkongsi semua risiko tanpa sebarang jaminan keuntungan daripada bank ataupun hak untuk mendapat keuntungan yang telah ditentukan iaitu faedah. Bank Islam bertindak sebagai pengurus wang yang sebenar bagi pelanggan dan fokus utama hanyalah untuk manfaat pembiayaan bagi pembangunan ekonomi dan masyarakat. Antara aktiviti perbankan yang dilihat sebagai alternatif bagi menggantikan kontrak perniagaan riba di dalam perbankan konvensional adalah seperti perkongsian mudharabah atau musyarakah, aktiviti jual beli dan juga akad sewaan.

Demikian itu sudah jelaslah bahawa perbankan Islam sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan yang menguntungkan berbanding perbankan konvensional. Islam hanya menutup satu pintu iaitu riba, yang ternyata jelas membawa kemusnahan kepada masyarakat tetapi cara lain dibuka seluas-luasnya. Ertinya masih terdapat begitu banyak alternatif halal yang lain dan lebih bermanfaat. Begitu betapa adilnya agama Islam, jika satu peluang ditutup kerana keburukannya maka akan datang pula peluang lain yang dibuka jalan seluasnya serta menjanjikan banyak kebaikan.

Namun begitu, masih lagi kita mendengar suara-suara sumbang yang asyik mendakwa produk dan perkhidmatan perbankan islam hanyalah cerminan dari produk konvensional. Dakwaan sedemikian tidak sepatutnya dibuat tanpa kita mengetahui matlamat dan aplikasi operasi di dalam sistem perbankan islam dan kemajuan sistem perbankan itu sendiri. Walhal, satu kenyataan pada hari ini menyatakan bahawa sistem perbankan Islam yang bebas dari amalan riba sebenarnya lebih memenuhi keperluan pelanggan dan masyrakat umum. Jadi tidak pelik jika kita lihat pada hari ini bahawa mereka yang bukan Islam lebih ramai memilih khidmat dan produk dari perbankan Islam. Sayang sekali, umat Islam sendiri yang masih enggan dan kabur dalam meyakini sistem perbankan Islam.

Firman Allah s.w.t:
“Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah: 279).

Konklusinya, perbankan Islam sebenarnya mampu untuk menggantikan sistem konvensional namun tidak sebaliknya. Tetapi, untuk ini menjadi realiti, sudah pasti memerlukan jihad dan sokongan dari semua pihak baik dari sudut politik, sosial dan tuntutan ke atas umat Islam itu sendiri. Usaha-usaha dakwah dan ilmiah harus diteruskan dalam memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan berkenaan aplikasi sebenar perbankan Islam bagi menyedarkan masyrakat. Semoga kesedaran ini akan membantu memartabatkan nama Islam di mata dunia. Insyaallah.

humi hermilia ibrahim,
4/2/10,irbeed.

2 comments:

follow me

Mencari posisi Memperkemaskan diri Menempuh REALITI...

"من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيرا او ليصمت"