Daisypath Anniversary tickers
Showing posts with label mY aRtikel for u. Show all posts
Showing posts with label mY aRtikel for u. Show all posts

Sunday, July 22, 2012

jangkitan kuman dipundi kencing

Siksa hidup kalau asyik berulang ke tandas, selang beberapa minit rasa nak ke tandas. Pulak tue bila dah qada hajat masih teras nak buang air kecil lagi.

cari-cari punca rupanya jangkitan pada punci kencing. Hadoiilaaaaa~

dulu-dulu miss hillu memang suka tahan-tahan bila rasa nak buang air kecil, lagi2 kalau berjalan jauh sangat tak suka nak berhenti buang air kecil. kira masa tu rasa pundi sangat p0wer menahan bila nak buang air kecil. Dengan masalah kurang minum air masak,rasanya dulu segelas pun payah sehari,banyak minum air manis je.hee~

macam-macam pulak simbol toilet ni~

bila dah kahwin ni lagilah mudah kena jangkitan. So be careful utk bride to be, take a good care for ur intimate care.

ada banyak punca yang menyebabkan jangkitan pada pundi kencing, antaranya :-

  • punca di sebabkan oleh 'suka tahan nak buang air kecil', tabiat ini boleh menyebabkan bakteria 'diternak'.
  • Melakukan hubungan seks , bentuk anatomi wanita yang memudahkan infeksi saluran kencing selepas hubungan kelamin, disebabkan pembukaan uretra berada di depan faraj. Semasa hubungan kelamin, bakteria ini memasuki sistem kerana urutan alat sulit suami mahupun jari.Mereka yang kerap kali menukar pasngan serta melakukan persetubuhan yang sangat kerap juga terdedah pada infeksi.
  • Kurang penjagaan kebersihan.
Antara langkah pencegahan yang harus diambil ialah :-

  • Elakkanlah diri korang dari tabiat 'menahan kencing'
  • banyakkan pengambilan air masak,(8 gelas sehari)
  • jaga kebersihan diri dan alat sulit, elakkan daripada memakai seluar dalam yang tidak mengalirkan udara.seluar dalam yang boleh serap peluh!
  • hindari daripada memakai pakaian ketat, ia boleh menyebabkan peluh yang mengundangkan pembiakan bakteria.
  • bersihkan kemaluan selepas membuang air kecil dan keringkan.
  • bersihkan kemaluan sebelum dan selepas melakukan hubungan kelamin.
  • lakukan ujian saringan air kencing untuk mengesan kencing kotor.
h0pefully membantu!=)

Monday, July 16, 2012

LIPOMA

Hari ini rasa macam nak buat entry pasal lipoma. Al-kisahnya en.Hubby, sebelum ini dah perasan since belum kahwin dulu ada benjolan kecil bawah kulit, tapi macam tak care sangat benda apa tu jadi dia buat tak tahu jela. Sampai sekarang ini makin bertambah pula, jadi tanya DR apa benda yang berbenjol2 kat tangan dan badan dia, so DR cakap benjolan itu ialah LIPOMA...
Lipoma ialah tumor atau ketumbuhan yang berasal daripada lemak. Ianya tidak merebak dan bahaya selagi mana tak berubah menjadi kanser.Ada pendapat mengatakan lipoma boleh berubah menjadi barah tapi sangat jarang sebenarnya, dan ada pendapat lain mengatakan lipoma bukan barah dan takkan jadi barah. Biasanya tumbuh di kawasan berlemak atau kerap tumbuh di kawasan lengan dan badan.Tapi ada kebarangkalian Lipoma  tumbuh di kawasan yang tidak sepatutnya seperti usus, tulang belakang dan hati, ini boleh membawa kepada masalah ulser, tersumbat atau pendarahan.

Lipoma pada umumnya dikatakan tidak MEMBAHAYAKAN  pesakit. Cuma apabila benjolan ini semakin besar dan menggangu keselesaan atau pun tumbuh di kawasan yang tidak sepatutnya so better dibuang, lagi pulak kalau tiba-tiba tumbuh di kawasan muka atau mana yang memburukkan pandangan so buang jela. Baru-baru ni tanya DR kos untuk buang Lipoma, so DR periksa size Lipoma dan dia kata RM 150 untuk satu lipoma. Benjolan Lipoma yang tumbuh dekat En.Hubby tu ada la 3cm.

lepas tunjuk pic ni dekat en.Hubby,di ngeri xnak buang..hehe



Antara Alternatif untuk mengubati Lipoma ini :-
  • Pembedahan kecil
  • Kurangkan pengambilan makanan berlemak
  • rajin-rajin berpuasa sunat, ataupun puasa ramadhan jangan ponteng!
  • banyakkan beriadah dan bersukan
  • banyakkan pengambilan makanan berkhasiat seperti sayuran dan buah-buahan.
  • Berdoa mohon diberi kesihatan yang baik!




''Semoga sihat selalu!!''
Sk Kpg Luak.
17/7,11:56am.



Saturday, July 7, 2012

AKU BUKAN SIAPA-SIAPA.......

Aku Bukan Siapa-Siapa.....
Aku cari cinta,
Cinta untuk bahagia,
Cinta dari Sang Pencipta dan yang dicipta.

Aku Bukan Siapa-Siapa.....
Aku cari rindu sejati,
Untuk temani capai mimpi,
Untuk ubati resah dihati.

Aku Bukan Siapa-Siapa.....
Aku cari hidup sempurna,
Biar tidak mewah berada,
Tapi damai iman di dada,

Aku Bukan Siapa-Siapa.....
Aku hanyalah aku,seorang hamba milik Yang Kuasa,
Aku hanyalah aku,seorang isteri untuk si dia,
Aku hanyalah aku,seorang anak buat ayahbonda tercinta,
Aku hanyalah aku,seorang guru buat anak-anak permata,
Aku hanyalah aku,AKU BUKAN SIAPA-SIAPA......




ocean park,
11.45pm,7/7/12....




Saturday, May 29, 2010

politik dan politik.....

Tiba-tiba hari ini tergerak hati nak berbicara isu ini.Mungkin sebab saya mula rasa, sudah masanya saya berfikir di atas medan ini. Antara pekerjaan yang paling susah adalah bila hendak memulakan pekerjaan. Manusia mungkin boleh berkata,tapi tindakan tak tahu bila. Inilah yang selalu berlaku dengan politik zaman kini.

Saya teringat cita-cita kawan saya bila kami ada masalah dengan duit pinjaman,katanya dia akan bekerja di yayasan itu selepas tamat pengajian demi membela nasib pelajar macam kami.Saya tersenyum melihat semangat dia,pesan saya kalau betul cita-citanya cubalah jadi yang teratas sebab air liur yang dibawah tak berguna kalau diatas lebih berkuasa. Kawan saya memang tinggi semangatnya,semenjak saya bersama dia dah banyak manifesto yang saya dengar. Insyaallah kalau naik saya akan undi dia,kalau betul dia dijalan yang benar!.

Ramai yang tak berminat bila sebut hal politik, kata mereka politik itu kotor. Saya jugak tak berminat tapi bukan dengan politik tapi mereka yang buat politik jadi kotor. Kalau kita kata politik itu kotor, jadi kita cakap politik yang dijalankan sejak zaman rasulullah juga kotor??.

Sebenarnya bila kita sebut tentang politik hari ini, banyak kita lihat keburukan dari kebaikan. Memang banyak beza politik hari ini dengan politk zaman rasulullah dan khalifah. Tak perlu kita cari contoh jauh, lihat di parlimen sendiri,apabila golongan bijak pandai yang mahir dalam kepimpinan tiba-tiba berdebat isu kecil seperti kanak-kanak merajuk tak dibelikan ais krim. Hilang kreadibiliti di meja berprestij,kanak-kanak pun mungkin tergelak melihat.

Ini lah yang berlaku apabila kita jauhkan kemampuan dan agama. Ramai antara kita yang mampu dan berkreadibiliti tinggi dalam memimpin tapi kurang dari sudut agama dan kesolehan dalam memimpin. Ada juga pihak yang asyik memberikan perhatian kepada soal kekuatan agama sehingga mengabaikan kemampuan dalam kepimpinan politik.Saya tidak berpihak pada mana-mana, ini realiti dunia kita hari ini.

Selingan cerita pada awal pengajian saya, semasa saya menjalani ujian lisan. Kami diberi masa untuk menjawab soalan dan bercakap di dalam bahasa arab. Gelak kecil bila saya teringat kembali,saya berdebat panas dengan kawan saya. Isu yang disoal oleh pensyarah ketika itu isu politik, apa lagi sedap kami goreng ayat walaupun tak dirancang. Semenjak dari hari itu saya dipanggil dengan gelaran puteri umno dan kawan saya muslimat pas, gelaran itu yang membuatkan pensyarah ingat kami sampai bila-bila. Mungkin waktu kami berdebat saya lebih memihak pada kerajaan dan kawan saya memihak pada pembangkang,tapi sebenarnya itu taktik supaya kami dapat idea dan boleh bertutur dengan baik. Apa sahaja akan sempurna kalau hati bersemangat dan minda kreatif berfikir.

Politik memang menyeronokkan sebenarnya. Kreadibiliti memimpin dan ketaqwaan perlu seiring dalam membina sebuah kerajaan yang utuh. Apabila kedua-dua aspek ini dibezakan,inilah yang akan membuatkan politik kita hari ini jadi kucar-kacir, yang bijak memimpin hanyut dengan tiada pegangan dan yang siqoh agama tapi lemah selok belok kepimpinan diberi tanggungjawab akhirnya gagal menguruskan.

Harapan saya semoga politik kita hari ini tidak terus dijadikan bahan ketawa masyarakat. Tidak kira di dalam organisasi yang kecil sekalipun,yang di atas harus bijak mengimbangi tuntutan dan lebih bertanggungjawab dengan amanah.semoga hidup kita diredhai.




i'm here 4u..
415pm,29/6.
bayt cI,irbeed.

Wednesday, March 3, 2010

HIKMAH INFAQ DAN BERSEDEQAH



Islam merupakan satu agama yang menitik beratkan mengenai kebajikan semua penganutnya. Pelbagai ajaran dan arahan yang diturunkan oleh Allah untuk menjaga maslahat semua umat manusia di dunia ini. Al-Quran juga diturunkan dengan pelbagai hikmah dan panduan untuk semua umat Islam. Sebagaimana Allah telah berfiman yang bermaksud :

''Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan ALLAH) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat) padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata kepadanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya ALLAH Maha Kaya lagi sentiasa Terpuji''.Surah Al-Baqarah ayat 267.

Ayat ini menjelaskan mengenai infaq iaitu membelanjakan harta supaya mengeluarkan harta yang dimiliki dengan baik. Peberlanjaan yang baik ini bermaksud, tidak melakukan pembaziran dan membeli barangan yang diperlukan sahaja. Jika semua umat manusia melakukan yang sedemikian, maka segala sumber yang ada di bumi ini akan digunakan dengan sebaik mungkin.

Pandangan ekonomi Islam mengenai perbelanjaan yang baik ialah mendahulukan yang perlu.
Barangan yang bukan keperluan tidak disenaraikan sebagai barangan keutamaan dalam perbelanjaan. Dengan cara ini, tidak akan berlaku pembaziran dan manusia mempunyai peluang lebih banyak untuk menyimpan. Barangan keperluan adalah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Semua manusia memerlukan barangan yang sama sebagai barangan keperluan. Barangan keperluan ini dengan kata mudah ialah barangan yang amat diperlukan dalam meneruskan kehidupan. Tanpa barangan tersebut, kehidupan manusia akan menjadi tidak selesa dan menghadapi masalah.

Selepas aturan barangan keperluan, barangan kehendak pula menyusul. Dalam konteks barangan kehendak ini, barangan ini bukanlah keperluan dalam kehidupan manusia. Jika tidak memiliki barangan kehendak ini, manusia mampu untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Barangan kehendak merupakan sebagai pelengkap kepada barangan keperluan sebentar tadi. Diandaikan rumah sebagai barangan keperluan. Tanpa rumah, manusia tidak akan hidup dengan sempurna. Manakala barangan kehendak pula adalah pelengkap kepada barangan keperluan. Ini bermakna, perabot, telivisyen, peti ais merupakan barang kehendak. Andai tidak memilki barangan berkenaan, manusia mampu hidup dengan baik, cuma kurang selesa sahaja. Itulah yang dinamakan sebagai barangan kehendak.

Kemudian selepas dua jenis barangan tersebut, ada jenis barangan yang ketiga. Barangan yang ketiga ialah barangan mewah. Barangan ini selalunya diinginkan oleh golongan yang berpendapatan tinggi. Ini kerana mereka telah mendapatkan barangan keperluan dan kehendak. Barangan mewah adalah rentetan daripada barangan keperluan dan kehendak. Ini bermaksud bahawa, rumah merupakan barangan keperluan, perabot di dalamnya merupakan barangan kehendak dan jenis perabot seta jenamanya yang mahal merupakan barangan mewah. Barangan mewah ini akan menjadikan sebuah kehidupan semakin selesa dan mewah. Dalam Islam, Islam menggalakkan supaya umatnya memenuhi barangan keperluan dan kehendak terlebih dahulu kemudian barulah barangan mewah. Tetapi sebenarnya barangan mewah ini sepatutnya tidak dibelanjakan dengan cara berlebihan. Kerana akan berlaku pembaziran jika diikutkan hawa nafsu tersebut. Jika menginfaqkan harta dengan melakukan cara sedemikian, maka harta tersebut telah digunakan dengan baik dan mengikut keutamaan selaras dengan anjuran di Islam. Manusia juga tidak akan membazirkan harta mereka kepada membeli barangan yang kurang perlu. Harta yang berlebihan sebaiknya disimpan sebagai awasan.Malah, harta tersebut juga boleh dilaburkan untuk memperoleh keuntungan daripadanya.

Pelbagai pelaburan boleh dilakukan selagi mana berlandaskan syariat Islam. Jika memiliki harta yang banyak, maka kemampuan untuk membantu golongan miskin juga akan bertambah.
Dalam Islam, pemilikan yang sebenarnya adalah milik ALLAH SWT. Manakala manusia adalah khalifah Allah yang diamanahkan untuk mentadbir bumi ini, sekali gus menguruskan khazanah dan harta yang terkandung padanya. Sebagai manusia, kita seharusnya menggunakan segala nikmat dan manfaat yang Allah berikan kepada kita dengan sebaiknya. Begitulah juga dengan kekuatan dan kesihatan fizikal kita, kerana ia merupakan kurniaan Allah yang tidak terhitung nikmat dan manfaatnya.

Ayat tersebut juga ada menjelaskan mengenai memberikan harta yang baik kepada orang lain, bukan harta yang buruk dan tidak akan memberikan manfaat kepada mereka yang menerima. Pemberian harta kepada golongan miskin dengan keikhlasan merupakan sedeqah jariyah. Islam amat menggalakkan umatnya supaya mengeluarkan sedikit daripada harta mereka untuk bersedeqah.
Sedeqah ini secara syariahnya akan membawa pemberi itu memilki pahala dan keredhaan ALLAH kepadanya. Malah, jika diberikan dengan ikhlas dan secara rela hati untuk membantu, ALLAH akan menggantikan harta mereka dengan lebih banyak lagi.

Selain itu, sedeqah juga member kesan kepada ekonomi itu sendiri. Ini kerana dengan sedeqah, golongan miskin memilki keupayaan untuk memasuki pasaran dengan memjadi sebahagian daripada pengguna. Mereka akan meningkatkan jumlah permintaan dalam pasaran barang. Keadaan ini akan membawa kepada peningkatan penawaran. Hukum ekonomi mengatakan bahawa, semakin banyak permintaan, semakin banyak penawaran yang akan dikeluarkan oleh pengeluar. Jika pengeluar meingkatkan pengeluaran, maka pelaburan yang akan dilakukan juga akan bertambah. Pengeluar akan meningkatkan kecekapan dalam pengeluaran bagi memenuhi pasaran yang semakin besar setalah dihadiri oleh golongan miskin ini. Dengan hanya cara bersedeqah, aktiviti ekonomi akan menjadi semakin rancak dan meningkatkan ekonomi individu, masyarakat malah sebuah negara itu sendiri.

Ekonomi Negara menjadi rancak kerana aktiviti pelaburan yang dilakukan oleh pengeluar semakin rancak. Ramai pelabur akan melabur dan pulangan akan dirasa oleh kerajaan melalui cukai, zakat dan sebagainya.
Jika kerajaan memilki kewangan yang kukuh, maka kerajaan boleh membantu golongan miskin ini dengan memberi pelbagai bantuan untuk menyahkan kemiskinan mereka. Cara kerajaan ini akan membawa kepada pengurangan jurang kemiskinan antara golongan miskin dan golongan kaya. Masyarakat akan menjadi stabil dan Negara akan aman. Pengurangan masalah sosial seperti jenayah, pelacuran dan sebagainya juga akan berlaku. Inilah diantara hikmah pemberian sedeqah, bukan sekadar memberi keuntungan kepada individu, tetapi kepada semua lapisan masyarakat keseluruhannya.

Ayat ini juga Allah menegaskan supaya manusia sentiasa membelanjakan harta ke jalan yang diredhaiNya. Mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah akan memperolehi hikmah dan ganjaran daripada Allah.
Kita digalakkan berbelanja mengikut keutamaan untuk mengelakkan daripada berlaku pembaziran dalam berbelanja. Harta yang diinfaqkan seharusnya diinfaqkan ke jalan yang betul. Sebagai contoh, menginfaqkan kepada ahli keluarga terlebih dahulu, kemudian jika memilki lebihan dari harta tersebut, bolehlah diteruskan untuk diinfaqkan kepada orang lain. Keadaan ini akan membawa sesebuah keluarga itu memenuhi keperluan asasi mereka.inilah dikatakan mengutamakan yang lebih utama. Islam juga menyarankan supaya saling bantu-membantu sesama manusia.

Manusia yang berkemampuan diwajibkan untuk menghalakan harta kekayaan itu dengan cara membantu manusia lain yang kurang berkemampuan, ini adalah sebaik-baik jalan untuk kita membelanjakan harta yang dimiliki. Sebagai salah satu caranya ialah bersedeqah.
Manusia seharusnya mencari keberkatan untuk melakukan tiap-tiap sesuatu supaya segala amalannya tidak sia-sia disisi Allah. Dikisahkan mengenai Nabi Ayub AS, ketika baginda sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis lengan bajunya agar belalang jatuh. Lantas Allah berfirman, ''Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?''Nabi Ayub AS menjawab, ''Ya benar, wahai tuhanku! Demi keAgungan-Mu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu''. Kisah di atas menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah . Kekayaan tidak akan membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta dan rezeki yang sedikit akan menjadi cukup. Sebaliknya, tanpa keberkatan rezeki yang meskipun banyak akan terasakan sempit dan menyusahkan.

Allah juga berfirman di dalam ayat surah Al-Baqarah ini, supaya manusia bersedekah dalam harta. Ini juga adalah jalan terbaik untuk manusia mencapai keberkatan dalam membelanjakan harta dan kekayaan. Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya untuk memperbanyak sedekah.
Sabda Rasulullah SAW , ''Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah'. Yang satu lagi menyeru, 'Musnahkanlah orang yang tidak membelanjakan hartanya'.''Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah SWT. Orang yang bakhil dengan tidak menyedekahkan sebahagian daripada hartanya akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat kerana tidak ada keberkatan.

Begitulah hikmah yang kita perolehi daripada ayat surah Al-Baqarah ini, bagaimana Allah menerangkan tentang pentingnya membelanjakan harta di jalan Allah dan juga bersedekah. Begitu Maha Bijaksana Allah, kerana jika kita lihat hikmah dalam ayat surah Al-Baqarah ini bagaimana Allah SWT menghimpunkan ayat infak yakni membelanjakan harta dan bersedekah. Ini bermakna berinfak dan bersedekah menjadi kriteria penting jika kita ingin meraih hikmah. Berikan sedikit harta kita di jalan Allah SWT, Insya Allah pasti akan kita temui hikmah. Bila anda sudah temukan hikmah itu, maka anda telah mendapat kurnia yang banyak dari sisi Allah swt sebagaimana yang dijelaskan didalam ayat-ayat surah Al-Baqarah ini.



budak baik,
sem 6,Sakan,Irbeed.

Tuesday, March 2, 2010

Bank Islam ke Konvensional???

Kenapa perlu memilih perbankan islam? Saya percaya masih ramai yang belum faham tuntutan sebenar kenapa kita seharusnya memilih perbankan Islam. Di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia, terdapat dua sistem perbankan yang beroperasi iaitu perbankan Islam dan perbankan konvensional. Apakah perbezaan di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional?

Sebelum kita meninjau mengenai perbezaan dasar antara perbankan Islam dan perbankan konvensional, sebaiknya kita menyelami apakah yang diinterpretasikan dengan sistem ekonomi konvensional dan sistem ekonomi Islam. Sistem ekonomi konvensional adalah satu sistem ekonomi yang sudah dipraktikkan secara meluas dan diterima pakai di dalam sesebuah masyarakat. Ianya boleh dikatakan satu sistem yang ditentukan oleh manusia dan tidak mempunyai piawaian yang mutlak tetapi bersifat anjal serta boleh berubah mengikut ketentuan masyarakat.

Firman Allah s.w.t:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah
kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu”
(Al-Baqarah: 208)

Manusia sebenarnya tidak mampu untuk melakukan sesuatu dengan baik melainkan dengan berpandukan Al-quran dan sunnah.Ini bertepatan dengan sistem ekonomi islam yang merupakan cabang dalam kesyumulan Islam. Sistem ekonomi Islam mempunyai piawaian yang tetap iaitu bersumberkan wahyu Al-quran dan Sunnah. Sumber ini memberikan pencerahan yang jelas mengenai perkara asas muamalat seharian yang meliputi suruhan dan larangan. Inilah perbezaan jelas mengenai sistem ekonomi Islam dan konvensional, sekalipun penyelidikan yang dijalankan tampak serupa tetapi sebenarnya ia melalui kepompong yang berbeza dan sudah pasti akan melahirkan implikasi yang berbeza.

Hal ini kerana, pakar ekonomi Islam bertujuan untuk mencapai al-falah di dunia dan akhirat, manakala pakar ekonomi sekular cuba menyelesaikan segala kemelut yang timbul tanpa ada pertimbangan soal ketuhanan dan keakhiratan tetapi keutamaan hanyalah untuk mencapai kepuasan manusia di dunia sahaja dan bersifat untuk kepentingan individu.

Jadi secara kasarnya, kita sudah semakin jelas mengenai perbezaan perbankan Islam dan perbankan konvensional yang selalu menjadi persoalan masyarakat umum di Malaysia. Apabila sesuatu sistem itu dijalankan dengan menggunakan akal dan kehendak semata-mata, maka sudah pasti pelbagai impak yang tidak baik akan timbul dan keadaan inilah yang akan membawa kepada kerosakan di masa akan datang.

Saya yakin masyarakat kita di Malaysia sudah mengetahui perbezaan ketara transaksi yang dijalankan oleh perbankan Islam dan konvensional, iaitu dari segi amalan riba atau lebih dikenali sebagai faedah. Perbankan Islam yang mengamalkan sistem ekonomi Islam berlandaskan wahyu sudah pasti jauh dari amalan riba. Tetapi bagi konvensional, amalan riba atau faedah dilihat sebagai satu kepentingan untuk mendapat keuntungan.

Kebanyakan masyarakat kita masih keliru dengan keuntungan atau dividen yang kita perolehi hasil daripada simpanan kita di dalam bank sama ada ia di anggap riba atau tidak serta haram atau halal, maka kita perlu memilih untuk menyimpan dalam perbankan bercorak Islami kerana sudah pasti sistem yang digunapakai adalah berlandaskan prinsip Islam dan bukan dalam sistem perbankan konvensional yang lebih menjurus untuk menambah keuntungan sahaja. Aspek ini seharusnya diambil berat oleh setiap masyarakat agar tidak berlaku kesan-kesan negatif yang boleh merosakkan ekonomi dan membawa pelbagai keburukan kepada semua pihak.

Firman Allah swt :
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba ” (al-Baqarah : 275)

Dalam sistem perbankan Islam, penggunaan riba sebagai keuntungan ke atas modal asal tidak dibenarkan sama sekali. Ini disebabkan keuntungan berdasarkan riba diperoleh bukan kerana imbalan usaha yang sah disisi syarak. Sepatutnya keuntungan ke atas modal asal hendaklah berdasarkan perkongsian untung dan rugi yang dikongsi bersama. Jadi jika satu pihak sahaja yang menanggung kerugian manakala satu pihak lagi tetap mendapat untung walau dalam apa jua keadaan (untung atau rugi), ini membawa kepada ketidakadilan.

Selain daripada itu, aspek keuntungan di dalam sistem perbankan konvensional adalah cenderung kepada memenuhi kepentingan individu. Misalnya di dalam aktiviti yang melibatkan simpanan orang awam yang secara tidak langsung melibatkan faedah tetap atau riba’ sebagai pulangan ke atas simpanan. Bank konvensional menggunakan simpanan orang awam untuk mendapatkan keuntungan dengan cara melaburkan wang simpanan tersebut ke dalam projek-projek besar tanpa mengambil kira projek tersebut syar’i (mengikut ketetapan syarak) mahupun tidak. Oleh sebab itu, pelaburan dan perniagaan hanya tertumpu untuk memaksimumkan keuntungan semata tanpa melihat kesan-kesan kepada masyarakat sama ada untuk jangka masa panjang ataupun jangka masa pendek, apatah lagi melihat kepada ketelusan pelaburan dari kaca mata Islam. Siapa tahu, berkemungkinan bank konvensional tersebut hanya melabur di syarikat-syarikat judi atau arak dan yang seumpama dengannya.

Berlainan pula dengan perbankan Islam, kerana asasnya pihak bank perlu bertanggungjawab terhadap semua simpanan daripada orang ramai dan memberi perkhidmatan cekap dan telus demi kepentingan awam bagi memenuhi matlamat sosioekonomi Islam dan manfaat manusia sejagat.

Kita juga boleh melihat perbezaan perbankan Islam dan konvensional melalui aspek perhubungan. Perhubungan di antara pelanggan di perbankan konvensional hanya terhad kepada kontrak pinjaman dengan faedah, yang mana bank sebagai pemiutang dan pelanggan sebagai peminjam yang harus membayar pinjaman pada waktu yang ditetapkan. Keadaan ini berbeza dengan sistem di perbankan Islam, pihak bank di dalam perbankan Islam akan bertindak selaku pengurus projek yang membantu menguruskan kewangan untuk manfaat setiap pelanggan.

Di samping itu pelanggan juga boleh berkongsi semua risiko tanpa sebarang jaminan keuntungan daripada bank ataupun hak untuk mendapat keuntungan yang telah ditentukan iaitu faedah. Bank Islam bertindak sebagai pengurus wang yang sebenar bagi pelanggan dan fokus utama hanyalah untuk manfaat pembiayaan bagi pembangunan ekonomi dan masyarakat. Antara aktiviti perbankan yang dilihat sebagai alternatif bagi menggantikan kontrak perniagaan riba di dalam perbankan konvensional adalah seperti perkongsian mudharabah atau musyarakah, aktiviti jual beli dan juga akad sewaan.

Demikian itu sudah jelaslah bahawa perbankan Islam sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan yang menguntungkan berbanding perbankan konvensional. Islam hanya menutup satu pintu iaitu riba, yang ternyata jelas membawa kemusnahan kepada masyarakat tetapi cara lain dibuka seluas-luasnya. Ertinya masih terdapat begitu banyak alternatif halal yang lain dan lebih bermanfaat. Begitu betapa adilnya agama Islam, jika satu peluang ditutup kerana keburukannya maka akan datang pula peluang lain yang dibuka jalan seluasnya serta menjanjikan banyak kebaikan.

Namun begitu, masih lagi kita mendengar suara-suara sumbang yang asyik mendakwa produk dan perkhidmatan perbankan islam hanyalah cerminan dari produk konvensional. Dakwaan sedemikian tidak sepatutnya dibuat tanpa kita mengetahui matlamat dan aplikasi operasi di dalam sistem perbankan islam dan kemajuan sistem perbankan itu sendiri. Walhal, satu kenyataan pada hari ini menyatakan bahawa sistem perbankan Islam yang bebas dari amalan riba sebenarnya lebih memenuhi keperluan pelanggan dan masyrakat umum. Jadi tidak pelik jika kita lihat pada hari ini bahawa mereka yang bukan Islam lebih ramai memilih khidmat dan produk dari perbankan Islam. Sayang sekali, umat Islam sendiri yang masih enggan dan kabur dalam meyakini sistem perbankan Islam.

Firman Allah s.w.t:
“Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah: 279).

Konklusinya, perbankan Islam sebenarnya mampu untuk menggantikan sistem konvensional namun tidak sebaliknya. Tetapi, untuk ini menjadi realiti, sudah pasti memerlukan jihad dan sokongan dari semua pihak baik dari sudut politik, sosial dan tuntutan ke atas umat Islam itu sendiri. Usaha-usaha dakwah dan ilmiah harus diteruskan dalam memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan berkenaan aplikasi sebenar perbankan Islam bagi menyedarkan masyrakat. Semoga kesedaran ini akan membantu memartabatkan nama Islam di mata dunia. Insyaallah.

humi hermilia ibrahim,
4/2/10,irbeed.

follow me

Mencari posisi Memperkemaskan diri Menempuh REALITI...

"من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيرا او ليصمت"